Adam Kadir presiden pertama Pakku
KUALA LUMPUR 19 Mac – Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat UMNO (Pakku) yang mengadakan Mesyuarat Agung pertamanya hari ini memilih bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir sebagai presiden.
Pertubuhan itu yang didaftarkan pada 14 Disember tahun lepas turut sebulat suara melantik Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin sebagai naib presiden I manakala, Mohd. Thamrin Tun Ghafar pula menyandang jawatan naib presiden II.
Menurut Adam, Pakku juga telah bersetuju untuk melantik Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad sebagai setiausaha agung dan jawatan tersebut akan disahkan dalam masa seminggu lagi.
“Ahli Dewan Tertinggi pula terdiri daripada Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Sabbaruddin Chik, Datuk Mokhtar Hashim, Datuk Seri Dr. Sulaiman Mohamad, Datuk Seri Dr. Afifuddin Omar dan Aziz Yassin,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penubuhan Pakku, beliau berkata, pertubuhan tersebut diwujudkan bagi mempertahankan kesucian Islam dan hak keistimewaan kaum bumiputera selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tambahnya, perjuangan bagi memartabatkan golongan bumiputera khususnya Melayu merangkumi aspek politik, ekonomi, pendidikan dan sosial tanpa mempertikaikan hak kaum lain.
“Pertubuhan ini lahir atas kesedaran kami sebagai bekas wakil rakyat UMNO bahawa masyarakat Melayu kini memerlukan pembelaan kerana ditekan dari pelbagai sudut.
“Oleh itu, dalam hal yang berkait dengan Islam dan hak keistimewaan Melayu, kami akan lantang mempertahankannya selain pada masa yang sama membantu UMNO menjadi lebih kuat,’’ jelasnya.
No comments:
Post a Comment