Wakil rakyat PKR dicabar bersumpah
KUALA LUMPUR 18 Mac – Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mencabar wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersumpah menafikan yang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak berbohong ketika menggerakkan misi 16 September 2008.
Beliau sendiri sanggup bersumpah untuk mempertahankan kenyataan pembongkaran yang dibuatnya termasuk wujud dakwaan Anwar bahawa Yang di-Pertuan Agong merestuinya sebagai Perdana Menteri keenam.
Baginya, tindakannya tidak lain daripada mahu menyedarkan wakil rakyat PKR yang mungkin tidak tahu hal sebenar.
‘‘Yang main peranan dalam rancangan untuk mengambil alih Putrajaya hanya dua tiga orang. Walaupun saya tidak terlibat dalam Biro Politik PKR tapi saya tahu perkara ini kerana saya sahabat baik Anwar,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Semalam, Zahrain menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila ‘memecahkan tembelang’ Anwar berhubung rancangan mengambil alih kerajaan Pusat 16 September.
Pendedahan itu juga menyebabkan Anwar ‘panas punggung’ sehingga bertindak meninggalkan sidang Dewan sebelum bekas orang kepercayaannya itu menghabiskan ucapan.
Zahrain antara lain mendedahkan yang Anwar telah membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya jumlah ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti menyertai pembangkang lebih daripada mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.
Anwar juga mendakwa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyokong pelantikannya sebagai Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment